Selamat Datang Ke Blog Rasmi ProMahasiswa UMSKAL. Dari Mahasiswa Untuk Mahasiswa.

Pro-Mahasiswa UMSKAL TV

Thursday 18 July 2013

Wacana Kampus #8 - SPOR Bakal Tingkatkan Mutu Penyelidikan Kelapa Sawit Negara




Sejajar dengan usaha berterusan Universiti Malaysia Sabah (UMS) melalui konsepnya inovatif, relevan dan lestari, satu Unit Penyelidikan Minyak Sawit Lestari (SPOR) ditubuhkan sebagai usaha berlandaskan konsep Eko-Kampusnya untuk bergerak seiring dengan penyelidikan yang bersifat mesra alam.

Merasmikan pelancaran unit tersebut, Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian Sabah, Datuk Raymond Tan Shu Kiah berkata, hasil pendapatan negara daripada produk berasaskan minyak sawit adalah sebanyak RM80.4 billion pada tahun 2011 dan dijangka meningkat ke RM103.9 billion pada tahun 2020.

“Walaupun dengan pencapaian yang signifikan, industri sawit masih terus ditujahi dengan pelbagai cabaran termasuklah usaha untuk meningkatkan produktiviti minyak sawit dengan jumlah keluasan tanah yang sama. Keadaan ini juga semakin runcing memandangkan kesediaan tanah untuk pertanian dilihat semakin berkurangan.

“Pencemaran daripada sisa industri, ancaman terhadap hidupan liar, masalah penularan penyakit dalam tanaman kelapa sawit adalah antara isu-isu yang memerlukan perhatian yang serius untuk kajian unit SPOR ini,” ujarnya lagi.

Tambah beliau, kerajaan dilihat memandang serius tentang industri ini yang mana ia merupakan di antara 12 Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) yang disenaraikan untuk meningkatkan ekonomi negara ke taraf negara maju menjelang tahun 2020.

“Harapan saya agar penubuhan SPOR ini bakal menjadi platform terbaik dalam memperkembangkan kerjasama penyelidikan di antara UMS dan industri-industri sawit di Sabah ke arah menangani isu-isu dan cabaran yang berkaitan dengan industri sawit di negeri ini,” katanya.

Terdahulu, Naib Canselor UMS Prof. Datuk Dr. Mohd Harun Abdullah berkata penubuhan unit ini merupakan inisiatif UMS menerusi Sekolah Sains dan Teknologi (SST) untuk bersama-sama dengan pihak industri sawit dalam usaha meningkatkan mutu penyelidikan berkaitan kepala sawit dan isu-isu kelestarian khususnya di Sabah dan Malaysia amnya.

“SPOR adalah unik kerana ianya menekankan prinsip penyelidikan secara mapan dan kompehensif bermula dari peringkat penanaman sehinggalah ke isu-isu alam sekitar,” ujarnya.

Sumber : Laman Web Rasmi UMS (http://www.ums.edu.my/v5/index.php/en/news/336-spor-bakal-tingkatkan-mutu-penyelidikan-kelapa-sawit-negara.html)

"Dari Mahasiswa, Untuk Mahasiswa"




No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...