Selamat Datang Ke Blog Rasmi ProMahasiswa UMSKAL. Dari Mahasiswa Untuk Mahasiswa.

Pro-Mahasiswa UMSKAL TV

Thursday 18 July 2013

Wacana Kampus #12 - Kumpulan UMSKAL Raih Anugerah Emas

LABUAN: Kumpulan KAL Team yang mewakili Universiti Malaysia Sabah, Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL) meraih Anugerah Emas di Konvensyen Team Excellence Wilayah Sabah dan Sarawak 2013 di The Pacific Sutera, Kota Kinabalu pada 4 Julai yang lalu.

Kumpulan itu yang diwakili ketua pasukan, Eldayana Suhaili, Zek Jas, Mohd Quazly Arifin, Abd Sofian Abd Ghani, Nurulhuda Leman, dan Dorathy Chew menerima trofi dan sijil penghargaan daripada Pembantu Menteri Pembangunan Perindustrian, Datuk Bolkiah Ismail.

Konvensyen itu yang dianjurkan oleh perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) Wilayah Sabah akan memilih wakil wilayah Sabah dan Sarawak ke peringkat kebangsaan di Gambang, Pahang pada 1 hingga 3 Oktober akan datang.

Sementara itu, Pengarah UMSKAL, Prof Madya Dr. Ismail Ali dan Timbalan Pendaftar UMSKAL, Zamri Mohamad Tuah mengucapkan Tahniah dan syabas atas kejayaan kumpulan KAL Team.

Ismail berkata, kejayaan itu amat membanggakan seluruh warga UMSKAL serta mampu menjadi sumber inspirasi kepada pegawai, pensyarah dan kakitangan untuk terus mengamalkan amalan 5S di kampus berkenaan.

Beliau berharap, kejayaan itu akan berterusan bukan sahaja dalam amalan 5S tetapi juga dalam bidang-bidang lain yang disertai UMSKAL sama ada di Peringkat Wilayah Persekutuan Labuan, Sabah mahupun Kebangsaan.

Katanya, Jawatankuasa Induk Amalan 5S yang diterajui Baharin Entoh perlu bekerja lebih keras bagi mempastikan kejayaan yang lebih besar pada peringkat kebangsaan Oktober tahun ini.

Sementara itu, Ahli Parlimen Labuan Rozman Isli turut mengucapkan tahniah kepada kumpulan UMSKAL kerana berjaya mengharumkan nama Wilayah Persekutuan Labuan dan berdoa semoga mereka beroleh kejayaan yang sama di peringkat kebangsaan kelak.

Sebanyak 11 kumpulan dari Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan serta Semenanjung Malaysia menyertai konvensyen berkenaan.


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...