Selamat Datang Ke Blog Rasmi ProMahasiswa UMSKAL. Dari Mahasiswa Untuk Mahasiswa.

Pro-Mahasiswa UMSKAL TV

Thursday 18 July 2013

Wacana Kampus #13 - PPUMS PUPUK KESEDARAN SOSIAL TERHADAP MASYARAKAT SETEMPAT

Atas inisiatif memupuk semangat dalam penglibatan pembangunan kesejahteraan hidup masyarakat setempat, Persatuan Pegawai Pengurusan dan Profesional Bukan Akademik Universiti Malaysia Sabah (PPUMS) telah melaksanakan satu aktiviti berkaitan tanggung jawab sosial melalui Program Khidmat Masyarakat PPUMS di Rumah Anak Yatim Putera Harapan, Ranau baru-baru ini.

Rombongan PPUMS yang terdiri daripada 13 orang, dan diketuai oleh Ketua Biro Kebajikannya, Encik Azmi Jumat telah disambut mesra oleh para penghuni rumah anak yatim yang kelihatan begitu ceria dengan kehadiran rombongan tersebut. Wakil pengurusan Rumah Putera Harapan, Cik Wani turut mengalu-alukan usaha PPUMS dalam menjalankan program di rumah berkenaan, sambil menjelaskan bahawa para penghuni rumah tersebut adalah terdiri daripada kanak-kanak berumur antara 7-11 tahun.

Para ahli rombongan kemudiannya telah beramah mesra dengan seramai 20 orang penghuni rumah, sambil menyediakan makanan bagi para kanak-kanak tersebut menjamu selera. Selain itu, ahli-ahli PPUMS juga telah membantu membuat gelanggang permainan sepak takraw bagi membolehkan para penghuni beriadah. Kakitangan dari Pusat Rawatan Warga, UMS turut menyampaikan ceramah kesihatan bagi memberikan pendedahan tentang penjagaan kesihatan kepada para warga Rumah Anak Yatim Putera Harapan.

Presiden PPUMS, Encik No’man Hj Ahmad turut menyampaikan sumbangan yang disalurkan oleh ahli dan orang perseorangan kepada Cik Wani bagi mewakili penghuni rumah anak yatim tersebut. Antara sumbangan yang disampaikan adalah barang-barang keperluan asas harian seperti beras dan barangan dapur, baju, ubat-ubatan, barangan sukan, dan keperluan-keperluan sekolah seperti alat tulis, buku dan kasut sekolah.

Program kesedaran sosial anjuran PPUMS ini bukan sahaja telah mendekatkan para ahli PPUMS dengan penghuni dan pihak pengurusan anak yatim, malah turut memberi peluang kepada ahli untuk berkongsi pengalaman kepada anak-anak yatim tersebut agar mereka lebih bermotivasi menjalani kehidupan seharian di rumah tersebut. Justeru, Azmi Jumat selaku ketua program khidmat masyarakat PPUMS ini menyeru agar agensi-agensi kerajaan dan swasta, serta orang perseorangan turut bersama-sama membantu penghuni Rumah Anak Yatim Putera Harapan dengan menyalurkan sumbangan wang atau barang-barang keperluan kepada rumah tersebut.

Sumber : Laman Web Rasmi UMSKAL (http://www.ums.edu.my/v5/index.php/en/news/342-ppums-pupuk-kesedaran-sosial-terhadap-masyarakat-setempat.html)

"Dari Mahasiswa, Untuk Mahasiswa"




No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...