Selamat Datang Ke Blog Rasmi ProMahasiswa UMSKAL. Dari Mahasiswa Untuk Mahasiswa.

Pro-Mahasiswa UMSKAL TV

Thursday 18 July 2013

Wacana Kampus #3 - Tahniah Pasukan Enactus UMS

"Enactus UMS mengimplimentasikan inovasi Payao: Inovasi mesra alam di Pulau Mabul"

Kampung Mabul yang terletak di kawasan tenggara Sabah, dipopulasi oleh beberapa komuniti nelayan yang terdiri daripada etnik Bajau Laut dan Suluk. Kedua-dua etnik ini mengalami kesusahan dalam menyara kehidupan keluarga mereka akibat hasil tangkapan ikan yang tidak tetap.

Dengan menghabiskan sebahagian besar masa mereka memancing di kawasan antara sempadan lautan Malaysia-Filipina, mereka mempertaruhkan nyawa mereka di tengah laut dengan menjana purata pendapatan sebanyak RM 750 bagi satu keluarga. Bertekad untuk menyelesaikan masalah ini, Enactus UMS yang dahulunya dikenali sebagai SIFE (Students in Free Enterprise) UMS telah membantu komuniti ini dengan menginovasikan projek Payao.

Diinspirasikan daripada tukun tiruan yang hanya boleh diaplikasikan di kawasan perairan cetek, Enactus UMS telah mengimplimentasikan alat yang mesra alam ini iaitu Payao yang terdiri daripada 3 bahagian utama merangkumi bahagian pelampung, bahagian sauh dan bahagian yang menarik perhatian ikan. Alat ini menarik pelbagai jenis ikan terutamanya Tuna yang akhirnya membolehkan para nelayan di Mabul untuk memperoleh hasil tangkapan yang lebih konsisten. Melalui projek ini, para nelayan di Mabul hanya perlu memancing di sekitar Payao justeru mengurangkan masa yang mereka habiskan di laut.

Projek ini dijalankan di bawah seliaan Prof. Madya Dr. Ismail Ali, yang merupakan pakar Payao bagi memastikan keberkesanan alat ini selain mengekalkan persekitaran akuatik semula jadi. Bengkel pengurusan kewangan turut dijalankan untuk mengukuhkan lagi pengetahuan perniagaan mereka seterusnya memberikan kesedaran kepentingan untuk memelihara ekosistem semula jadi. Dalam pada itu, Persatuan Nelayan Mabul juga telah ditubuhkan bagi menguruskan dan memastikan penggunaan inovasi Payao ini mampu digunakan dalam jangka masa yang panjang secara optimum.

Sumber : Laman Web Rasmi UMS (http://www.ums.edu.my/v5/index.php/en/news/323-enactus-ums-mengimplimentasikan-inovasi-payao-inovasi-mesra-alam-di-pulau-mabul.html)

Pautan lain : http://www.ums.edu.my/v5/index.php/en/news/319-pasukan-enactus-ums-bantu-masyarakat-berpendapatan-rendah.html

"Dari Mahasiswa, Untuk Mahasiswa"



No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...