Selamat Datang Ke Blog Rasmi ProMahasiswa UMSKAL. Dari Mahasiswa Untuk Mahasiswa.

Pro-Mahasiswa UMSKAL TV

Thursday 18 July 2013

Wacana Kampus #4 - UMS SUMBANG PEMBANGUNAN DAN KEMAJUAN SUKAN SABAH

UMS melalui program Sains Sukan Sekolah Pendidikan dan Pembangunan Sosial (SPPS) sentiasa giat menjalankan program dan aktiviti yang mampu menyumbang kepada pembangunan dan kemajuan bidang sukan, khususnya di negeri Sabah.

Terbaru, satu Persidangan Sains Sukan Antarabangsa anjuran SPPS telah diadakan di Auditorium, Pusat Pengajian Pascaiswazah UMS. Persidangan selama tiga hari itu telah mendapat penyertaan seramai 105 peserta dari dalam dan luar negara, antaranya dari Bangladesh, Mesir, Taiwan, Thailand dan Filipina.

Menteri Belia dan Sukan Sabah, Datuk Tawfiq Datuk Seri Panglima Abu Bakar Titingan ketika merasmikan “1st UMS International Sports Science Conference” (UISSCo) 2013 yang bertempat di Sabah Oriental Hotel berkata, inisiatif sekumpulan pensyarah sains sukan dalam menubuhkan satu unit bersama-sama agensi kerajaan Sabah mampu membantu dalam meningkatkan prestasi Sabah dalam kejohanan sukan, terutamanya Sukan Malaysia (SUKMA) akan datang.

“Saya percaya dengan perkongsian pintar antara UMS, Majlis Sukan Negara (MSN) Sabah, Institut Sukan Negara (ISN) dan persatuan-persatuan sukan, impian Sabah untuk menjadi juara dalam SUKMA akan datang mampu dicapai”, katanya.

Sementara itu, Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Mohd Harun Abdullah berkata matlamat pengajuran UISSCo adalah untuk menyediakan platform kepada para penyelidik sains sukan untuk bertemu dan membincangkan kajian dan penemuan semasa berkaitan bidang sains sukan. Tambahnya lagi, UMS amat komited untuk menyumbang ke arah pembangunan dan kemajuan sukan di Sabah.

“ UMS berharap dengan pertukaran idea-idea ini, sukan akan terus bertambah baik di Malaysia, terutamanya Sabah. Satu jawatankuasa bersama telah ditubuhkan, yang terdiri daripada UMS, Pusat Satelit Institut Sukan Negara Sabah, Majlis Sukan Sabah dan Lembaga Sukan Sabah untuk meningkatkan prestasi atlet SUKMA Sabah. UMS bercita-cita untuk menyumbang bukan sahaja untuk meningkatkan pencapaian para atlet di Sabah, tetapi juga untuk pembangunan dan pengayaan dalam bidang sains sukan, di Malaysia, dan di seluruh dunia,” ujarnya.

Persidangan ini bakal menyaksikan lebih 50 kertas kerja dibentangkan oleh pengamal-pengamal sains sukan, antaranya Profesor Dr. Zahari Bin Taha (Teknologi Sukan), Profesor Madya Dr. Mohd Khairi Zawi (Biomekanik), Profesor Dr. Jeff Coombes (Fisiologi Senam) dan Profesor Dr. Shaharudin bin Abdul Aziz (Psikologi Sukan).

Sumber : Laman Web Rasmi UMS (http://www.ums.edu.my/v5/index.php/en/news/326-ums-sumbang-pembangunan-dan-kemajuan-sukan-sabah.html)

"Dari Mahasiswa, Untuk Mahasiswa"


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...